Monday, January 7, 2013

AKIBAT MENDENGAR TANPA MENILAI | SEBUAH CERITA MOTIVASI

Untuk entri ini, saya sangat tertarik dengan satu cerita sindiran yang memberikan pengajaran. Saya anggap ia sebuah kisah motivasi supaya kita membina keyakinan dan sebab mengapa menilai sesuatu perkara dengan baik itu penting dalam membuat keputusan.
Keldai | Gambar : sumber
Cerita ini mungkin berbentuk rekaan namun ia punyai kebenaran dalam kehidupan kita seharian. Dibawakan oleh Boboi dalam lawak mereka dan telah dipanjangkan oleh blogger si Tukang Karut dalam entri bertajuk Boboi menyindir siapa di dalam maharaja lawak 2013.

Cerita ini mengisahkan tentang 2 orang anak beranak yang dalam perjalanan pulang selepas membeli seekor keldai. Dalam perjalanan tersebut mereka bertembung dengan beberapa kumpulan orang yang bercakap sesuatu dan terus memberikan tindakbalas tanpa menilainya.


Ringkasan cerita itu;
  1. Bapa dan anak dikatakan bodoh bila tidak menunggung keldai dalam perjalanan pulang,
  2. Bapa dan anak dikatakan tiada perikemanusiaan bila bersama menunggang keldai ;
  3. Si anak dikatakan tiada hati perut bila bapanya menarik tali keldai sedangkan dia duduk di atas keldai;
  4. Si bapa pula dikatakan teruk apabila beliau duduk diatas keldai dan anaknya menarik tali.
Penghujungnya, mereka bersama turun dan menarik keldai hingga sampai ke rumah tanpa memperdulikan apa sahaja kata-kata orang sekeliling. 

Jika ingin lebih mengetahui akan ceritanya bolehlah singgah di blog Tukang Karut dengan klik pautan di atas.

Justeru, itulah antara akibat benar yang akan berlaku kepada diri apabila kita taksub mendengar kata-kata orang sekeliling tanpa menilainya. Berdasarkan pengalaman, sama ada datang dari keluarga mahupun rakan-rakan - kebanyakkan kesilapan dilakukan adalah kerana faktor kata-kata orang sekeliling.

Apatah lagi kita dilahirkan dalam masyarakat yang dipenuhi dengan cerita mitos yang selalunya diterima bulat-bulat tanpa menilai - baik dan buruknya.

Maka daripada cerita tersebut, inilah antara beberapa akibat jika terlalu terbuka dan menerima kata-kata orang sekeliling tanpa menilainya

1. Tiada keputusan tepat/terbaik - Dalam perjalanan menuju matlamat, akan sentiasa kita berdepan dengan pelbagai rintangan dan salah satunya adalah "nasihat" orang sekeliling. Maksud saya adalah "nasihat" yang tidak dinilai kebaikkan dan keburuknya. Lumrahnya kita menerima nasihat, tapi pastikannya ia punyai nilai untuk dilaksanakan.

Jika hanya dengan mengambil semua kata-kata orang sekeliling sama ada dari keluarga, rakan-rakan dan sesiapa pun sebagai "nasihat" tanpa menilainya, pasti risiko untuk membuat keputusan yang kurang tepat atau lebih teruk tersalah membuat keputusan berlaku.


2. Tiada keyakinan - Sebagai seorang yang berjaya, satu perkara yang pasti dan saya yakin 100% terhadapnya - keyakinan diri. Menilai memerlukan keyakinan, membuat keputusan perlukan keyakinan dan mengambil tindakan atas keputusan yang telah diambil perlukan keyakinan.

Adakah kita punyai keyakinan diri jika terus menerus membuat keputusan bila mendengar kata-kata orang sekeliling. Ingat, bukan semua nasihat punyai nilai yang baik. Nilaikan dengan sebaiknya. 

Ambil masa dan bina keyakinan diri untuk membuat keputusan yang baik.

3. Melambatkan masa dalam mencapai tujuan - Sepanjang jalan menuju ke rumah, jika hanya si ayah dan anaknya membuat satu keputusan mungkin mereka akan sampai di rumah dengan lebih cepat dan tidak membazir tenaga. Mungkin dengan membeli keldai bertujuan untuk membantu mereka membawa bebanan. Tapi, bebanan tersebut menjadi semakin membebankan apabila terlalu banyak perubahan berlaku sepanjang perjalanan - hanya kerana mendengar kata kosong orang lain.

Begitulah juga kita dalam tujuan mencapai satu sasaran hidup. Ia bukan hanya datang dengan matlamat, namun ia datang dengan bebanan tanggungjawab untuk mencapainya. Semakin panjang masa yang diambil, semakin kita perlukan tenaga. Tidak dilupakan, semakin banyak kata-kata orang yang akan kita dengar. Semakin banyak kita menerimanya tanpa menilai, semakin kita akan terkeluar dari landasan. Berwaspada.

Biarlah orang dengan kata-kata mereka, kerana ia hanya akan menjadi kata-kata kosong apabila kita sudah mencapai tujuan atau matlamat kita kelak.

Itulah sebabnya saya sangat setuju dengan apa yang telah dituliskan oleh Si Tukang Karut dan persembahan lawak kumpulan Boboi. Kita mungkin memandang ini adalah sebuah lawak kehidupan. Ia sering berlaku dan akan sentiasa berlaku.

Tapi, jangan jadikan diri kita bahan lawak tersebut. Jangan jadikan kita umpama orang yang tiada keyakinan diri, sentiasa berubah dan tidak punya arah tujuan - hanya kerana kata-kata orang.

Transformasi atau perubahan itu penting. Tapi, dengan syarat segala kebaikkan dan keburukkan dikira dengan baik. Bukan dengan hanya mengikut hati dan perasaan.

Soalan : Apakah terlalu mendengar kata-kata kosong orang lain memberikan masalah kepada diri anda sepanjang mencapai matlamat? Kongsikan pengalaman anda diruangan komen dibawah

3 comments:

  1. Menarik... Pernah dengar cerita tu... Great job... Nice sharing... Keep it up...

    ReplyDelete
  2. mendengar kata orang tu boleh, tapi bukan menelan bulat bulat!

    ReplyDelete
  3. lepas dengar kena teliti betul2.. takleh ambil semua kata-kata kosong itu. fikir secara logik dan rasional..

    ReplyDelete

Terima kasih atas komen anda.